Monday 21 January 2019

Contoh proposal kerja kursus Sejarah STPM (Tema Sejarah Ekonomi)

Tajuk : Sejarah Perkembangan Kedai Runcit Cikguazis, Pekan, Pahang Dari Tahun 2000 Hingga 2015

Klik di sini Panduan Mengarang Esei

Pengenalan
Terdapat pelbagai bentuk perniagaan yang diusahakan di negara kita seperti pusat membeli-belah, pasaraya besar, kedai serbaneka, kedai seragam dan  kedai runcit. Perniagaan kedai runcit merupakan entiti perniagaan yang paling banyak terdapat di negara kita. Ia terdapat di kawasan kampung, pekan dan juga di bandar-bandar besar. Kedai runcit biasanya dimiliki secara persendirian dan oleh orang perseorangan. Kajian saya ini akan berfokus kepada sejarah perkembangan Kedai Runcit Cikguazis di Pekan, Pahang.


Objektif Kajian
Kajian saya ini akan berfokus kepada sejarah perkembangan Kedai Runcit Cikguazis. Kajian ini juga akan mengenalpasti faktor-faktor perkembangan Kedai Runcit Cikguazis. Di samping itu, kajian saya juga akan menjelaskan pelbagai cabaran dan rintangan yang dihadapi oleh perniagaan ini. Kajian saya ini akan turut memperincikan harapan pemilik Kedai Runcit Cikguazis ini untuk kemajuaan perniagaan kedai runcitnya ini pada masa hadapan.
Permasalahan Kajian
Kemajuan pesat Kedai Runcit Cikguazis di Pekan, Pahang telah menarik minat saya untuk membuat kajian ke atas kedai tersebut. Kedai runcit beliau terletak di kawasan perumahan Kampung Tanjung Langsat di Pekan, Pahang di mana majoriti penduduk di situ bekerja di kawasan perindustrian Peramu, Pekan, Pahang. Sebahagian kecil penduduknya bersawah padi, menternak haiwan seperti lembu dan kambing serta ada juga yang mengusahakan kolam udang harimau secara kecil-kecilan. Sosio ekonomi penduduk yang pelbagai ini turut membantu kemajuan Kedai Runcit Cikguazis ini.
Skop Kajian
Kajian saya ini hanya akan menjurus kepada sejarah perkembangan Kedai Runcit Cikguazis di Kampung Tanjung Langsat, Pekan, Pahang sahaja. Skop kajian ini juga hanya meliputi tempoh masa selama 15 tahun iaitu dari tahun 2000 sehingga 2015.   
Sorotan Kajian Lepas
Hasil penelitian saya, tiada suatu kajian khusus yang pernah diterbitkan tentang sejarah perkembangan Kedai Runcit Cikguazis di Pekan, Pahang secara ilmiah. Namun, terdapat beberapa buah buku yang menjurus kepada sejarah perkembangan dan kemajuan perniagaan di negara kita seperti buku yang ditulis oleh Siti Hawa Mohd bertajuk Mydin : Di Sebalik Tadbir setebal 251 mukasurat yang diterbitkan di Petaling Jaya, Selangor oleh MPH Publishing Sdn Bhd pada tahun 2011. Buku ini menyingkap sejarah dan faktor kejayaan rangkaian Pasaraya Mydin di seluruh Malaysia. Begitu juga buku yang ditulis oleh Wan Nong Muzafar bertajuk Kuasai Formula Perniagaan. Ia memberikan penulis pelbagai idea dan sudut pandangan dalam usaha seseorang itu untuk menjalankan perniagaan. Di samping itu, buku bertajuk Memulakan Bisnes Sendiri oleh Ainon Mohd, terbitan Syarikat PTS di Batu Caves, Selangor setebal 371 mukasurat cetakan tahun 2017  boleh dijadikan panduan dalam menulis esei kajian saya ini.


Kaedah Kajian
Saya akan menggunakan beberapa kaedah dalam melengkapkan kerja kursus saya ini seperti kaedah temubual, kaedah kajian lapangan, kaedah kepustakaan dan kaedah kajian internet.
Menerusi kaedah temubual, saya akan menemubual beberapa orang responden seperti En Abdul Razak Bin Shaari iaitu pemilik Kedai Runcit Cikguazis, isteri beliau, Pn Zubaidah Hanum Bt Nazrin serta seramai 6 orang responden yang merupakan pelanggan tetap Kedai Runcit Cikguazis iaitu En Roslan  Manap, En Ahmad Badrul Ishak, Tn Hj Muda Samad, Pn Rohana Abd Ghani, Pn Zaharah Hassan dan Pn Aishah Abd Razak.

Saya juga akan menjalankan kajian lapangan dengan mengunjungi beberapa tempat di Kampung Tanjung Langsat  itu seperti Kedai Runcit Cikguazis, masjid, rumah pemilik kedai runcit ini, balairaya, rumah ketua kampung, rumah imam kampung dan beberapa kawasan riadah untuk kanak-kanak dan golongan remaja.
Menerusi kaedah kepustakaan, saya akan mengunjungi Perpustakaan Awam di bandar Pekan dan Perpustakaan Awam Negeri Pahang di Kuantan bagi mendapatkan lebih banyak lagi maklumat berkaitan kajian saya ini. Selain daripada itu, saya juga akan membuat kajian internet dari masa ke semasa dengan menggunakan kemudahan teknolgi ICT pada masa kini untuk memantapkan esei saya ini.

Pembahagian Struktur Esei
    a) Pengenalan
    b) Sejarah awal perniagaan 
    c) Sejarah awal Kedai Runcit Cikguazis
    d) Sejarah perkembangan perniagaan Kedai Runcit Cikguazis
    e) Faktor perkembangan Kedai Runcit Cikguazis
    f) Halangan dan rintangan perniagaan Kedai Runcit Cikguazis
    g) Harapan kejayaan pada masa hadapan Kedai Runcit Cikguazis

9. PENUTUP
10. BIBLIOGRAFI
( Format bibliografi Chicago Style)